KUALA LUMPUR, Sabtu 11 April - Alhamdulillah, selesai sudah roadshow Malaysia Harmoni (MH) Jawatankuasa Penerangan (JK Penerangan) JIM (a.k.a JIMedia) ke Zon Tengah (Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan). Dengan setiap negeri tersebut menghantar
wakil masing-masing, roadshow kali ini boleh dikatakan telah mencapai objektif yang disasarkan.
Pendaftaran dibuka seawal jam 8.30 pagi, dan program dipengerusikan oleh Editor Kanan Malaysia Harmoni, Encik Wan Muhammad Wan Ibrahim.
Roadshow kali ini dimulakan dengan penerangan berkenaan Rancangan JIM 2 (RJIM 2) dan Key Result Area (KRA) Media yang disampaikan oleh Haji Jamali selaku Pengerusi JK Penerangan Pusat. Seperti biasa peserta teruja dengan penyampaian Haji Jamali atas keterangan yang terang dan jelas serta gaya yang penuh semangat serta intonasi yang penuh gaya. Kalau peserta masih blur lagi, maka semestinya bukan salah JK Penerangan.
Kemudian, slot penerangan mengenai operasi Malaysia Harmoni dikendalikan sendiri oleh Ketua Editor Malaysia Harmoni Encik A Ralim M Yassen. Slot ini bertujuan memperkenalkan struktur kerja dan operasi MH di samping mengetengahkan dan memperkenalkan Ketua Editor yang baru dilantik.
Kemudian, slot yang agak impromptu dan tiada di dalam perancangan ialah "Narrow down" slot oleh Encik Abdul Aziz Nordin yang menerangkan tentang letak-duduk dan tugas spesifik para peserta yang hadir.
Ia kemudiannya diikuti pula oleh sesi perkongsian JK Penerangan Pusat yang dikendalikan oleh Encik Wan Mohd Zukri Che Mat Zin yang juga adalah Timbalan Pengerusi JK Penerangan Pusat. Sesi perkongsian ini bertujuan menceritakan kepada para peserta berkenaan usaha-usaha, pelan-pelan dan pencapaian-pencapaian yang telah dicapai dan dilaksanakan oleh JK Penerangan Pusat. Ini bertujuan memberi semangat, menjadi penyuluh dan meletakkan "role-model" dan benchmark untuk diikuti atau dikembangkan lagi oleh JK Penerangan Negeri yang hadir.
Seterusnya, roadshow mempelawa JK Penerangan Negeri yang hadir untuk berkongsi pengalaman pengoperasian di peringkat negeri pula dan kesemuanya menarik belaka.
Sesi lawatan ke JMC Studio mengakhiri sesi pagi di mana peserta dibahagikan kepada dua bahagian, dan dimulakan dengan bahagian lelaki selama 20 minit dan seterusnya bahagian wanita juga selama lebih kurang 20 minit. Sesi ini dikendalikan oleh Editor Teknikal MH Encik Abdul Aziz Nordin selaku Pengurus Studio tersebut.
Setelah selesai kudapan tengahari dan solat zuhur, sesi berikutnya ialah "All About Photo". Ia memakan masa yang agak lama kerana peserta perlu install software dan beberapa masalah timbul. Sesi yang dikendalikan Encik Abdul Aziz Nordin ini berjaya diselesaikan walaupun melebihi masa yang diperuntukkan disebabkan isu-isu teknikal yang tidak dapat diduga. Pun begitu sesi tersebut adalah paling interaktif, ceria dan kecoh kerana kebanyakan peserta juga amat berpengalaman di dalam soal-soal komputer dan banyak juga idea-idea penyelesaian tentang isu-isu teknikal tadi dicadangkan, dan kesemua isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik sekali.
Sesi berikutnya adalah "Penyelarasan Penulisan Bahasa Melayu" oleh Ketua Editor Malaysia Harmoni Encik A Ralim M Yassen. Walaupun pada asalnya pihak penganjur menjangkakan bahawa slot yang penting ini kemungkinan akan membuat peserta tertidur atas kebosanan, tetapi sebenarnya sebaliknya yang berlaku. Rata-rata peserta menunjukkan minat yang mendalam dengan bertanya pelbagai soalan dan perkongsian. Ini mungkin kerana dari penyampaian tersebut terserlahnya kehebatan ilmu Ketua Editor dan mungkin juga peserta menyedari kepentingan bahasa untuk memberi kesan kepada pembaca, dan juga dengan adanya beberapa peserta yang memang pengkhususannya adalah bahasa.
"Malaysia Harmoni: Teknik Memuatnaik Artikel dan Memaut Gambar" mengakhiri roadshow kali ini. Ia disampaikan oleh Editor Teknikal MH Encik Abdul Aziz Nordin.
Penganjur ingin mengucapkan terima kasih terutamanya kepada Editor Penyelaras MH Cik Khadijah Azman di atas kelancaran program kali ini, dan juga kepada semua JK Penerangan Negeri kerana memberi kerjasama yang teramat baik. - JIMedia















